Monday, 20 February 2012

Sahabat Selamanya



Kadang-kadang dalam dunia ini kita tidak mempunyai sesiapa kecuali diri sendiri, namun dalam kita bersendiri kita beruntung kerana dikurniakan seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan ketulusan dan kejujuran darinya begitu juga dia tetapi kita sering lupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang perasaan dan harapan kita dan kita rasa dikhianati bila dia mungkir janji. Kita terlupa bahawa kita juga pernah membuatnya tertunggu-tunggu kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. 

Seperti kita, dia juga ada rasa kecewa tapi kita sering terlupa. Untungnya kita mempunyai seorang sahabat yang sentiasa di sisi kita bila kita memerlukannya. Dia mendengar luahan hati kita, segala rasa kecewa dan ketakutan yg kita alami, harapan dan impian kita luahkan, dia membantu kita menyelesaikan di setiap kali masalah bertandang. Kita asyik bercerita tentang kita hingga kita lupa bahawa dia juga mempunyai cerita yang ingin dikongsi bersama kita. 

Pernahkah kita memberi peluang kepadanya untuk menyatakan rasa bimbang dan takutnya? Pernahkah kita menyabarkan dia sepertimana dia menenangkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatan sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita terjatuh dan menyerah kalah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? Dapatkah kita yakinkan dia bahawa dia boleh mempercayai kita dan bersandar bila terasa lemah dan ingin rebah?

Sesekali jadilah kawan yang boleh mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana dia juga seorang manusia dan dia juga mempunyai rasa kecewa, gembira, sedih, terluka, takut dan bimbang. Kita selalu melihat dia ketawa sedangkan kita tidak pernah tahu bahawa mungkin dia tidak setabah yang disangka. Di sebaliknya senyumannya itu, mungkin tersimpan kedukaan dan cerita sedih yang ingin dikongsikan, dan di sebalik kesenangannya mungkin terselit 1001 kekalutan yang kita sendiri tidak pernah nampak dan tahu. 

Jalan yang kita selusuri ini adalah jalan yang banyak onak duri yang tajamnya tidak terkata, sakitnya menusuk jiwa, air mata akan selalu mengalir, peluh keringat dan pengorbanan akan sentiasa membaluti tubuh kerana itu hidup ini memerlukan dorongan seorang teman. Teman di jiwa adalah iman, teman sepanjang perjalanan adalah Allah, dan teman suka duka adalah sahabat-sahabat yang sentiasa di sisi yang mengerti erti kehidupan. 

"Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku, sahabat yang baik adalah seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati, kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan merasa senang, semakin ramai sahabat, semakin aku percaya diri, aku selalu berharap mendapat sahabat sejati, yang tidak luntur baiknya, dalam suka dan duka, jika aku dapar, aku ingin setia padanya" - IMAM SYAFIE-

Sahabat...
Ingatkan daku 
Seandainya aku lupa dan lalai pada Allah
Di waktu kelapangan dan kesibukan
Di waktu kesenangan dan kesusahan
Ingatkan daku tentang islam
Jangan pula aurat ku didedahkan
Semakin singkat, tipis dan dijarangkan
Ingatkan daku hati dan diri ini milik Yang Maha Kuasa
DIserahkan jiwa dan raga
Ingatkan daku untuk menjadi sahabat yang baik
Cintakan kedamaian
Kisah akhirat menjadi pengakhiran
Ingatkan daku untuk bercinta hanya keranaNya
Mengutamakan sifat orang yg beriman
Supaya menjadi benteng hasutan syaitan
Ingatkan daku apabila aku mula terjatuh
kerana ia adalah permulaan kepada kejayaan

Sahabat...
Persahabatan ini bukanlah milikku
Malah bukan milikmu jua
Persahabatan ini adalah perancangan Allah
Yang Maha Mengetahui segala rahsia yg tersembunyi
Kerana Dialah aku mengenalimu
dan kerana Dia juga telah menetapkan kau dan aku
Mengukir 1001 kenangan bersama
Doaku agar persahabatan ini terisi dengan kasih sayang
Kerana ukhuwah itu indah andai keranaNya
Sahabat..doaku sentiasa mengiringimu

Untukmu sahabat, terima kasih kerana membiarkan aku mengetahui segala rahsiamu dan engkau juga menjadi penjaga rahsiaku. Terima kasih kerana sudi menerima diri ini menjadi sahabatmu. Maaf seandainya diri ini terlalu banyak mengguris hatimu.

Keep Smile (^_^)

No comments:

Post a Comment