Thursday, 22 March 2012

Alhamdulillah

Kesakitan yang kembali menjengah membuatkan hati makin sakit. Namun tersedar dari lena bahawa ini bukan mimpi namun sebuah kenyataan yang harus dihadapi. Namun kuatkah aku untuk melaluinya sekali lagi, hanya kepada Allah aku bergantung. 

Kali ini aku tidak akan jatuh lagi kerana aku yakin akan ada tangan yang akan membantu. Cermin yang kini ku pandang kosong, kuamati dalam-dalam. Walaupun berjuta kali tersenyum namun senyuman itu tetap tidak berseri. Kesakitan yang cuba disembunyikan dengan senyuman tetap tidak dapat menghilangkannya.

Namun bibir ini akan tetap terus tersenyum walau tidak seindah dulu, walau telah menjadi sumbing malah kelihatan sinis tapi hati berkata, teruslah cuba untuk mengukir seikhlasnya sebuah senyuman. 

Air mata yang sering dihamburkan kini seakan-akan kering setelah bak hujan yang tiada hentinya. Susah payah ayat-ayat cinta Allah dibaca bersulamkan tangisan yang tiada sudah. Sudah puas jari mengira tiap butir tasbih dengan diiringi zikir kepadaNya meniti di bibir. Hati tetap terus berdoa agar diringankan segala beban.



Hanya kesakitan yang dirasakan kini. Sakit. Biarlah hanya Dia yang mengetahuinya. Biarlah hanya Dia yang mendengar tangisan ini. Biarlah hanya Dia yang menjadi pendengar setia. Biarlah hanya Dia yang bersimpati pada diri hina ini. Biarlah hanya Dia yang sentiasa di sisi ini. Bukan manusia yang lainnya.

Bersyukur kerana menjadi insan terpilih untuk merasakan kesakitan ini. Bersyukur kerana Dia masih menyayangi. Bersyukur kerana Dia seringkali mengingatkan bila saja diri alpa. Bersyukur kerana kasih sayangNya diri masih lagi di sini. Bersyukur kerana Dia menjadikan diri masih kuat. Alhamdulillah.

Kata ibu : "Allah uji kerana Allah sayang, Allah uji kerana nak uji kesabaran, Allah uji kerana Dia tidak mahu kita alpa, Allah uji kerana Allah nak tingkatkan iman, Allah uji kerana Dia rindukan pengaduan dari kita, Allah uji kerana Dia rindu kita bercakap denganNya. Allah tidak akan menguji di luar kemampuanNya dan Allah tahu kita kuat untuk melalui segalanya".

Wahai hati tetaplah bersabar dalam ketaatan. Jangan biarkan aku rebah sebelum masanya. Aku masih perlu teruskan melangkah. Andai aku rebah bangunkan aku kembali. Kerana perjuangan aku masih belum sampai ke penghujungnya. Hati, terimalah ujian ini dengan redha kerana segalanya kehendak Yang Esa. Senyuman yang ikhlas akan terus menghiasi bibir ini esok. Akan muncul pelangi setelah hujan. InsyaAllah.



Keep Smile (^_^)

No comments:

Post a Comment