Thursday, 19 September 2013

Buatmu bakal imamku


Aku bermonolog sendirian, bertanya pada diri siapakah pemilik hati ini selepas Allah dan Rasulku. Perkahwinan adalah satu sunnah, maka ku serahkan segalanya pada Allah. Pengharapan kita pada Allah jadi aku serahkan segala-galanya pada-Nya. Cuma satu doaku, berharap agar Allah menghadirkan seorang lelaki yang mampu membimbing diri ini ke jalan yang diredhai Allah. Andai engkau yg ditakdirkan untukku InsyaAllah segalanya akan dipermudahkan.


Dear Bakal Imanku, 

Ketahuilah aku bukanlah seorang wanita yang cantik paras rupanya, yang lembut tutur bicaranya kerana aku hanyalah wanita biasa yang terkadang melakukan salah dan silap. Jangan mengharapkan kesempurnaan dari diri yang serba kekurangan ini. Aku hanya wanita biasa yang perlukan sokongan dan bimbingan, perlukan pemahaman dan pengertian. Maka, sabarlah menghadapi aku nanti.

Bakal Imamku,

Aku tidak mengharapkan kesempurnaan darimu, cukuplah kau hanya hebat di mataku kerana aku juga insan yang penuh kekurangan. Aku tidak inginkan kata-kata manis darimu kerana aku yakin wanita lain telah mendengarnya terlebih dulu dariku. Aku tidak perlukan pujian darimu kerana aku tahu pujian itu telah sampai dulu pada wanita lain. Jangan janjikan aku dengan apa yang kamu tidak pasti kerana aku tahu wanita lain pernah hampa dengan janjimu dulu. Aku tidak menagih hartamu kerana aku bersyukur Allah juga memberikan aku kudrat untuk berusaha ke arah itu juga. Aku tidak kisah bagaimana rupamu nanti kerana aku juga bukanlah wanita yang cantik paras rupanya.

Bakal Imamku,

Andai aku adalah tulang rusukmu yang telah hilang, aku berharap jika nanti Allah menyatukan kita kamu akan sentiasa membimbingku agar aku menjadi wanita solehah. Yang nantinya akan menjadi bidadarimu di syurga kerana aku ingin kita disatukan di dunia dan akhirat. Andai kamu yang ditakdirkan untukku, ku harap kau boleh menjadi imam untukku dan anak-anakku. Kamu boleh menjadi pemimpin yang baik dalam rumah tangga kita. Kamu akan mencintai aku apa adanya dan menerima kekuranganku dengan penuh kebijaksaan. Andai aku salah, tegurlah aku dengan kata-kata yang penuh berhikmah dan seandainya aku marah padamkanlah ia dengan kasih sayangmu agar marahku menjadi kelembutan. Andai aku lupa ingatkanlah aku agar kelak kau tetap menjadi tauladan buatku dan anak-anak kita.

Bakal Imamku,

Jangan pernah berhenti menjadi lebih baik kerana suatu hari nanti kau bakal menjadi sumber rujukanku. Jangan pernah jemu untuk menasihati aku untuk menjadi lebih baik tetapi jangan pula kamu turut terleka dengan dunia ini. Jangan pernah letih untuk bersabar kerana mungkin aku bakal mencabar tahap kesabaranmu di masa-masa akan datang. Jangan sesekali hapuskan kepercayaan aku terhadapmu seandainya aku mula untuk mempercayaimu kerana aku bukanlah wanita yang mudah untuk mempercayai sesiapa kecuali dirimu seandainya kamu disatukan denganku suatu hari nanti. 

Bakal Imamku,

Tiada siapa yang mengenalimu bahkan diriku sendiri kerana dirimu menjadi rahsia Pencipta kita yang perlu kusingkap dengan sepenuh kesungguhan dalam sujudku. Cuma istikarah yang dapat merungkai rahsia ini buatku. Bertahun lama yang kutunggu hanyalah akad yang akan membimbing diri ini menuju Jannah Allah. Apalah erti kasih sayang yang bersemi untukmu andai maharnya bukan kemampuan untukmu mendidikku menjadi mujahidah yang mencintai DIA lebih dari segalanya. Tiada yang lebih berharga buatku melainkan didikanmu yang akan membuatkan diri ini berjuang dalam menegakkan Deen ini, 

Bakal Imamku,

Hatimu adalah milik Allah begitu jua hati ini. Dari awal kudidik hati ini bahawa kamu bukanlah milikku kerana kamu adalah milik Allah Yang Esa. Walau di mana jua dirimu dan siapa kamu yang pasti bersama-samalah kita didik hati ini agar redha dengan setiap apa yang berlaku dalam menegakkan agama Allah ini. Bersama-samalah kita bersyukur dengan mencintai DIA lebih dari segalanya kerana cinta-Nya kekal abadi. Biarlah seribu malam berlalu dengan alunan sendu dalam sujud kita di atas lembaran tahajjud dan istikarah.

Bakal Imamku,

Aku mengerti dan aku sentiasa berdoa, suatu hari nanti moga Allah mempertemukan kita dalam pertemuan yang diredhaiNya. Aku akan tersenyum manis padamu. Aku akan sentiasa menjadi pendampingmu dan sentiasa setia bersamamu dalam suka mahupun duka kerana aku ingin menjadi sahabat, kawan, teman dan juga isteri yang terbaik buatmu. 

InsyaAllah...



Keep Smile and Keep Istiqamah (^_^)


No comments:

Post a Comment