Friday, 13 April 2012

Ketakutan itu

Rasulullah s.a.w bersabda, Bukanlah orang yang sabar kecuali yang banyak menerima cubaan, dan bukanlah orang yang bijak kecuali yang banyak pengalaman.

Onn membaca apa yang tertulis di buku walaupun perlahan namun dapat ditangkap oleh telingaku. Lalu dia renungi mataku dengan soalan...

"Kak Ria pernah rasa takut tak?"

Terbeliak mataku memandangnya. Namun dia ketawa mengekek seketika. Nakal. Namun kembali muram. Kemudian dia menyambung kata. Nadanya agak memilukan. Aku hanya diam menanti tutur bicaranya.

"Onn pernah takut kak. Takut untuk meneruskan hidup ini. Pengalaman itu sangat sakit sehingga sukar untuk Onn lupakan. Kita boleh cakap kita berani, segalanya tidak akan apa-apa dan akan baik-baik saja namun hakikat disebalik semua itu hanya diri dan Allah saja yang tau. Bukankah kita sedang menipu diri kita sendiri kak?"

"Orang tidak pernah tahu yang saya pernah dianggap tidak ubah seperti sampah. Saya dibiarkan menghadapi segalanya seorang diri. Saya diberi janji dan harapan tetapi ditinggalkan. Saya diminta menanti namun akhirnya terpaksa mengalah dengan keadaan. Saya ikhlas membantu orang lain tetapi dibalas dengan cemuhan dan hinaan. Saya menyayangi sejujurnya dan tidak pernah menuntut apa-apa kecuali sedikit pengertian untuk menerima saya seadanya tapi.. saya tak dapat semua tu kak. Malah saya dihina dan difitnah secukup-cukupnya. Bahkan orang yang saya percaya, saya kasihi juga mencurangi perasaan saya. Tiada siapa yang menyebelahi saya. Tiada siapa yang tahu kesakitan yang saya alami". 

"Masa itu baru seminggu ayah meninggalkan saya, tapi mereka semua mula membuat cerita bukan-bukan malah pelbagai cacian dan hinaan yang saya dapat atas perkara yang langsung tidak pernah saya lakukan. Bayangkanlah kesedihan kehilangan seorang ayah cukup berat namun ditambah lagi dengan penghinaan demi penghinaan yang menerjah ke ruang telinga menyukarkan lagi keadaan. Bukan mereka tidak tahu ketika itu saya sedang bergelut dengan peperiksaan akhir. Akibatnya semua paper saya gagal kak. Semua itu membuatkan saya tertekan dan takut. Semua itu juga yang membuatkan saya mula tidak mempercayai sesiapa. Orang yang saya sayang pun meninggalkan saya untuk wanita lain. Siapa akan berani jika menghadapi situasi seperti ini kak?"

Terkesima Ria mendengar luahannya tiba-tiba. Perasaan yang telah lama terpendam diluahkan bagaikan peluru menembak jiwanya. Ria tunduk melihat pada rumput di kaki. Berharap agar Onn terus meluahkan apa yang terpendam selama ini. Biar habis semua yang berbeku di hatinya. Sungguh dia nampak kuat disebalik senyumannya namun tiada siapa yang tahu apa yang bermain di fikirannya. Dia nampak tenang dengan membantu orang lain bila mereka mempunyai masalah namun disebalik senyuman itu rupanya tersimpan 1001 rahsia. Namun Onn terus terdiam mungkin menahan permata mahalnya daripada jatuh ke pipi. 

"Onn berdendamkah dengan semua kejadian itu?". Sungguh sukar Ria menebak apa yang bermain di fikiran Onn ketika itu. Sungguh dia tidak pernah tahu apa yang dialami oleh gadis riang itu.

"Tak kak, Saya tidak pernah terfikir untuk membalas semua itu. Tiada sekelumit dendam pun pada mereka di hati ini. Saya tidak pernah membenci mereka kerana mereka juga adalah keluarga saya. Saya sayangkan mereka kak. Mereka adalah keluarga ayah saya walaupun kini hubungan itu telah mereka putuskan. Saya masih menganggap ini sebagai ujian dan takdir. Yes takdir. Allah berhak ke atas diri saya so Dia memberikan saya sedikit ujian agar saya berpaut padaNya. Saya menyepikan diri dari semua orang kerana mungkin dengan berdiam diri ia akan meredakan keadaan. Namun saya silap kak, makin banyak cerita yang keluar dari mulut mereka. Keadaan ibu mula membimbangkan saya kerana mereka mula datang menyerang ke rumah. Saya mengalah bukan bermaksud saya takut namun untuk apa menang jika itu hanya akan mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Semua itu cukup membuatkan saya takut kak."

"Semua itu telah berlalu kak. Setahun lebih sudah semuanya berlalu namun tidak pernah sedetik pun saya lupakan apa yang mereka kata pada saya dan ibu. Betapa jahat dan hinanya saya di mata mereka. Malah anak buah yang saya pernah sayang suatu ketika dahulu sanggup mengatakan celaka kepada saya. Apa dosa saya kepada mereka kak. Selama ini saya banyak berdiam diri walaupun pelbagai cacian yang mereka lemparkan. Tapi selepas ketiadaan ayah makin teruk saya dihukum. Apa salah saya kak?. Alhamdulillah, sehingga sekarang saya masih lagi mampu untuk berdiri bahkan pengajian berjaya saya habiskan walaupun ianya mengambil sedikit masa. Kekuatan dan semangat ayah sentiasa ada dalam diri saya namun tidak dinafikan saya takut semuanya akan berulang lagi."

Ria melepaskan keluhan. "Sudahlah Onn, jangan dikenang lagi. Itu semua kenangan yang lepas. Let bygone be bygone. Kegagalan, kesakitan yang lepas adalah ilmu untuk kita. Itu adalah guru yang terbaik buat kita dan merupakan proses untuk kita belajar tentang hidup. Kalau tidak kerana semua itu mungkin Onn tidak akan bertahan sehingga ke hari ini. Betapa Allah sentiasa di sisi Onn mendengar segala curahan dan aduan padaNya. Dia tidak pernah meninggalkan Onn sendirian kan? Redhalah dik... Yakinlah pada kehendak Allah Ta'ala. Jika Dia menghendaki semua ini maka ianya akan berlaku. Kita semua adalah milik Allah. Segala yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Tengoklah pada diri Onn sekarang. You're strong enough. Masih mampu melemparkan senyuman walaupun di hati tiada siapa yang tahu. Melupakan memang payah namun semua itu akan mematangkan kita malah mendewasakan kita. Jangan mengurung diri kita dengan kenangan yang lepas dik, dunia luar mungkin akan memberi banyak erti yang lebih indah lagi."

"Tapi... macamana kalau ianya berulang kembali kak?

"Kak Ria percaya Onn tetap perlu mengahadapinya dan boleh hadapinya seperti dulu dan seperti sekarang juga kan? Jangan berdoa ianya berulang tapi doakanlah agar kita dikuatkan iman. Jangan sesekali lupa Allah walau dalam kecewa dan marah. Dia beri ujian itu kepada kita kerana kasih sayangNya. Bertahanlah dik! Sederhanakan rasa takut itu. Onn boleh terus berhati-hati tapi jangan berterusan dalam ketakutan itu. Cari hikmah disebalik semua yang telah berlaku. InsyaAllah Allah akan sentiasa membantu. Setiap yang Allah beri itu tidak diberinya sia-sia. Ambil pengajaran darinya sayang, kak Ria tau awak kuat untuk menempuhnya. InsyaAllah.


Kata Jihad
Iringi setiap langkah kakimu dengan hati yang berani, tabah dalam mengharungi segala pahit getir dalam perjuangan mencapai keredhaan Allah. Ukirlah senyuman di bibirmu meskipun hatimu sakit di panah ujian. Sampaikanlah segala harapan dalam doa yang tulus dari hatimu. Ketahuilah...sesungguhnya Allah sentiasa menyayangimu, walau seberat mana ujian yang diberikan padamu, tidak pernah sedetik waktu pun dari masa yang berlalu Dia meninggalkanmu. Kerana itulah tandanya Dia merindui dan mencintaimu...

Keep Smile (^___^)

No comments:

Post a Comment