Tuesday 6 March 2012

Ayah, aku rindu padamu

When you are a daughter, you are opens a door for your father to Jannah
When you are a wife, you are a completes half of the deen of your husband
When you are a mother, jannah is under your feet




"If everyone knew the true status of a muslim women, even the men would want to be women" (Syaikh Akram Nadawi)

Sebab itulah aku sangaaaat sayaaaaaang ayahku. Wanita yang baik ketika dia masih menjadi anak, syurga baginya adalah taat kepada kedua orang tuanya. Ini kerana wanita tersebut masih lagi menjadi tanggungjawab seorang ayah sehinggalah tanggungjawab itu diambil alih oleh seorang lelaki yang bernama suami.  Walaupun ayah kita telah tiada namun apabila sesuatu dosa kita lakukan ayah di sana juga terpaksa menanggungnya akibat dari perbuatan kita. 

Tapi yang kita lihat sekarang ini, wanita-wanita melebihkan lelaki lain yang bergelar kekasih melebihi seorang ayah sehingga sanggup mengenepikan ibu dan ayah. Segala keputusan bukan lagi di bawah kuasa seorang ayah tapi kekasihnya. Ingatlah wahai muslimah, suatu ketika dahulu ayahmu yang membanting tulang untuk menafkahimu bukannya kekasihmu, ayahmu yang menyekolahkanmu hingga ke universiti padahal belum tentu dia merasakan bangku sekolah yang kau duduki namun matamu terus tertutup akibat dari cinta tidak halalmu itu. 

Ayahmu amat menyayangimu kerana dia pun menginginkan kamu menyayanginya, dia amat mengasihimu kerana itu dia bersusah keranamu. Ayahmu tidak mahu kamu mengalami kesusahan sedikit pun dan inginkan hanya yang terbaik buatmu. Menyekolahkanmu membuatkan kamu menjadi pandai agar nanti kamu tidak akan menjadi seperti dia. Apa yang kamu perlukan sebolehnya dia cuba membuatnya menjadi kenyataan. 


Fikiran jauh melayang merindukan kasih sayang seorang ayah. Seorang ayah yang telah meninggalkan dunia ini ketika diri ini masih lagi memerlukan belaiannya, tawanya dikala kegembiraan dan gurauannya seringkali menjadi pemujuk duka.


Pelukanmu ayah masih segar terasa, masih hangat dalam ingatan walaupun ayah sudah lama pergi. Wajahmu yang sentiasa ceria walaupun dalam kesakitan selalu bermain di minda ini membuatkan hatiku rindu selalu. Sungguh diri ini rindu pada setiap bicaranya.

Seperti baru semalam kita bergurau senda, gurauanmu masih terasa dan gelak tawamu masih kedengaran. Seperti baru semalam ayah berada di sisi kami, menjadi imam, menjadi ketua, menjadi nakhoda kapal buat kami namun apakan daya janji Allah itu pasti bahawa mati itu pasti dan yang pastinya Allah menyayangimu ayah. 

Kadangkala hati ini pilu, sedih dan cemburu melihat teman-teman yang masih lagi berpeluang dan diberi kesempatan untuk bermanja-manja dan bergurau senda dengan ayah mereka. Mereka masih lagi mempunyai seorang ayah untuk mereka berkongsi masalah, berkongsi air mata dan berkongsi tawa sedangkan aku telah kehilangan semua itu sejak setahun yang lepas. Namun apalah hak aku untuk cemburu kerana semuanya adalah milik Allah dan hanya Allah yang berhak atas segalanya. 

Jika kau masih lagi di sisi, mungkin kau akan tersenyum puas kerana anakmu ini telah berjaya menjadi seperti yang kau inginkan. Masih kuingat, kau berkata dulu, "ayah percaya kak tak macam perempuan sekarang ni, kak mampu menjaga diri sendiri kerana kak anak ayah yang kuat. Menangis hanya akan membuatkan kita lemah. Apa yang orang nak kata, katalah yang penting kita tahu apa yang kita buat. Ayah nak kak belajar sampai habis, buktikan pada orang lain yang kak pun boleh. Ingat Allah." Itulah kata-kata akhir ayah sebelum dia meninggalkan diri ini selama-lamanya. Kini diri telah redha menerima segala ketentuan dariNYA.


Ayah,
Cintamu tidak akan sesekali aku khianati
Kerana kasih buatmu sentiasa di hati
Dan tak mungkin ditukar ganti
Hingga akhir hayat namamu akan sentiasa terukir di hati

Ayah,
Aku sering meminta darimu
Tapi kau tidak pernah meminta dariku
Berilah aku peluang untuk berbakti kepadamu
Walau hanya bacaan al-Quran dan doa dapat kuhulurkan buatmu

Ayah,
Walau kini kau tiada di mata
Namun tiada saat yang berlalu tanpaku mengenangmu
Kerana kasih sayangmu tiada bandingnya
Kerana hati ini sarat dengan kenanganmu

Ayah,
Selamanya aku tetap bidadari kecilmu
Kerana kasih sayangmu tiada bertepi
Senyuman yang sentiasa di bibir ini adalah untukmu
Kerana gelak dan tawaku kau yang ajari

Ayah, 
Kau akan sentiasa di hatiku
Pesanan akan tetap utuh di minda
Nasihatmu akan tetap di jiwaku
Amanahmu tidak sesekali aku lupa

Ayah,
Pengorbananmu tetap abadi di jiwa kami
Semoga kau tenang di sana
Doa kami sentiasa bersamamu.........

Buat teman-teman di luar sana yang masih merasai nikmat kasih sayang dari seorang ayah, bersyukurlah anda. Sayangilah mereka seperti anda menyayangi diri anda sendiri. Kita seringkali tidak hargai apabila mereka di depan mata namun apabila kehilangan baru kita akan sedari betapa dalamnya kasih sayang kita terhadap mereka. Berbuat baiklah kepada ibu dan bapa kerana tanpa mereka siapalah kita. Pengorbanan mereka kepada kita terlalu besar. 
Allah menguji kita dengan sesuatu yang sangat kita sayang,
Kita diberi cubaan dengan kehilangan,
Allah menguji kita dengan sebuah impian yang amat kita harapkan,
Kita terduduk berlinang air mata saat impian kecundang
Sesungguhnya DIA lah pemberi segala kerana segalanya kepunyaanNYA
Saat ditariknya nikmat yang ada, DIA sedang mengaturkan untuk kita sesuatu yang lebih berharga
Bersangka baiklah dengan Allah sentiasa.....


Keep Smile (^_^)






No comments:

Post a Comment