Wednesday 1 February 2012

Cerita tentang jodoh


Entry kali ini berkisar tentang jodoh dan cinta. Cinta yang pada perkiraanku perlu selepas aku mencintai Allah dan Rasul-Nya. Kasih yang aku kira perlu aku berikan pada seseorang selepas ibubapa, abang dan adik-adik serta diriku sendiri.
Ya, cinta pada manusia biasa yang bernama lelaki kerana aku diciptakan sebagai seorang wanita. Umur yang makin menginjak jauh meninggalkan alam remaja dan sudah tentunya sekarang berada di fasa kedewasaan memungkinkan aku berfikir tentang urusan jodoh.  
Persoalan jodoh yang meniti di bibir teman-teman sekolah, kawan-kawan sekuliah, jiran-jiran dan keluarga terdekat sekarang lebih senang aku jawab dengan senyuman. 
"Tak ada buah hati ke?"
"Takkanlah tak ada yang minat dengan perempuan pandai macam kau ni?"
"Kau ni jual mahal sangat kot?"
"Kau memilih sangat kot?"
"Bergayalah sikit, bagi cantik, mesti nanti ada yang terpikat kat kau.."
"Aku sudah, kau bila lagi?"
"Aku dah nak masuk anak 3, kau masih lagi sendiri? Nanti anak aku dah besar kau baru nak kawin."
Nak melayan satu-persatu pertanyaan mereka memang tidak terjawabla. Kalau dulu lebih senang kukatakan,
"Belum jodoh lagi.."
"Belum bersedia lagi.. .nanti dah ada calon, akan diberitahu kelak".
Berbicara tentang cinta memang tidak akan pernah habis. Semasa di universiti dulu, seringkali aku melihat pasangan yang kononnya tengah 'hangat bercinta' bergaduh atas perkara-perkara yang kecil. Kadang-kadang aku ketawa sendirian apabila melihat adegan pujuk-memujuk persis filem hindustan di televisyen. Bermacam-macam gaya yang diperlihatkan apabila si lelaki cuba memujuk si wanita atau si wanita yang cuba memujuk lelaki. 
Aku menggeleng kepala melihat gelagat mereka dalam tawa bersama teman-teman. Pada aku tidak wajar perkara tersebut dilakukan apatah lagi pasangan itu masih belum mempunyai ikatan yang halal di sisi islam. 
Bukan aku tidak pernah bercinta, namun perkara sedemikian tidak pernah berlaku kepadaku memandang aku bukan jenis yang cepat melatah sekiranya berlaku perselisihan tambahan pula jarak yang memisahkan . Bak kata orang, hal kecil pun akan jadi besar bila bercinta. Cuma cara untuk menanganinya berlainan bagi sesetengah orang.
Pengalaman lalu banyak mengajar aku untuk menjadi seperti sekarang. Tidak dinafikan, aku ingin mencari seorang lelaki yang mudah tersenyum, tegas dalam kelembutan, dan bisa membuat aku gembira dan yang paling penting dia seorang yang sangat menjaga solatnya dan ibadahnya. Cukup itu padaku dan aku telah bertemu dengannya, tapi seperti yang aku katakan, cerita ini tentang jodoh...
Aku ingin hubungan yang ada matlamat. Hubungan yang terjalin tanpa matlamat yang jelas bukanlah hubungan yang bersungguh-sungguh tetapi hubungan yang terang-terangan berlandaskan nafsu semata-mata.
Ianya soal jodoh. Allah mempunyai perancangan yang lebih menarik untukku, terserah kepadaku sendiri samada mahu mencari hikmah yang tersembunyi atau membiarkan diriku terus-terusan tertanya mengapa kesudahannya begini dan begitu.
Dalam melayari kehidupan, aku belajar pelbagai perkara yang mengajar aku erti kedewasaan. Setiap hari aku belajar dan adakalanya mengajarkan sesuatu kepada yang lain. Benar, semakin bertambah usia, membuatkan aku merasa gusar kerana masih tidak dipertemukan jodoh. Rakan-rakan yang lain ramai yang sudah berumahtangga namun aku masih lagi sendiri.
Perkenalan aku dengan salah seorang temanku sekarang ini mula membibitkan rasa kasih di hati. Aku cuma wanita biasa yang tidak mampu untuk menolak perasaan ini dari terus hadir. Seringkali tertanya, adakah Allah hadirkan dia untukku atau sekadar kawan untuk berbicara. Urusan jodoh yang tertulis kemas di luh mahfuz adalah rahsia Allah yang tersembunyi dari pengetahuan hamba-Nya selain urusan umur, rezeki dan maut.
Namun aku kuatkan hati kerana aku takut ini adalah permainan syaitan semata-mata. Aku takut ianya akan melalaikan dan bisa menghumban diriku ke lembah kehinaan. Tingkahnya kadang-kadang membuat aku tertanya-tanya namun aku positifkan diri mungkin juga kerana aku adalah sahabatnya dan tentu saja dia menghormatiku. Mungkin.
Satu hari dengan izin Allah, tersingkap sebuah rahsia bahawa dia juga merasakan apa yang aku rasa. Telahan aku selama ini benar, firasatku jarang tersasar kerana seringkali aku memohon kepada Allah membimbing hati agar tidak berprasangka buruk kepada orang lain. Hatiku menguntum senyum, tentu saja rasa suka apabila diri disukai oleh lelaki. Namun aku sedarkan diri bahawa aku tidak pantas untuk dia. Terlalu banyak kekurangan diri untuk bergandingan dengan dirinya.
Aku senang berkawan dengannya, setiap kali bertemu jiwaku rasa tenang dan gembira. namun cepat-cepat aku sedarkan diri kerana dia bukan siapa-siapa denganku malah bukan mahramku yang layak untuk aku fikirkan tentangnya. Malu yang masih menebal dalam diri yang menjadi perisai selama ini aku takut makin terhakis. Aku serahkan hati ini kepada Allah kerana Allah yang membolak-balikkan hati ini. 
Kepada rakan-rakan yang masih tidak mempunyai 'pacar' usah bimbang dan khuatir. Kamu tidak perlu merendahkan martabat diri demi untuk meraih cinta seorang lelaki. Ketahuilah, manis dan cantiknya seorang wanita bukan terletak pada kecantikan fizikalnya namun terletak pada taqwanya, hatinya yang sentiasa tunduk dan malu pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. 
Aku tidak menyatakan yang aku ini tidak pernah melakukan dosa namun aku berusaha untuk memperbaiki diri kerana takut tergelincir ke arah itu. Jika ada lelaki menyatakan dia menyukai kamu, tanyakan kembali apa yang dia mahukan darimu. Jika dia sekadar ingin bersuka-suka dan punya pacar seperti teman yang lain maka jauhkanlah dirimu darinya. Sekiranya dia benar-benar serius untuk mengikat tali perkahwinan dan mempunyai latar belakang yang mendamaikan dirimu maka pertimbangkanlah permintaannya untuk menjadikan dirimu suri hidupnya.
Walaupun jodoh itu urusan Allah namun harus diingatkan bahawa kita tidak pula diperintahkan untuk sekadar menanti dan hanya berpeluk tubuh menanti kehadirannya. Carilah jodoh dengan cara yang diizinkan dan diredhai Islam atasnya kerana dengan itu moga hubungan kalian juga akan diredhai Allah. InsyaAllah.
Moga Allah membantu aku dalam urusan yang berkaitan dengannya kerana ianya masih samar-samar. Jika benar lelaki itu jodoh yang dikirim Allah untukku meraih cinta yang lebih besar iaitu cinta Illahi maka aku redha.
Ketahuilah bahawa Allah memberikan apa yang kita perlukan dan bukan apa yang kita mahukan kerana mungkin saja apa yang kita suka itu akan menjadi kebencian suatu hari nanti. Buat rakan-rakan yang mungkin sedang menanti jodoh atau telah bertemu jodoh, aku doakan agar kamu memperoleh jodoh sepertimana yang diingini. Semoga pasangan kita terdiri daripada si dia yang akan 'melengkapkan' kekurangan yang ada pada diri masing-masing agar kita lebih mudah berjuang meraih cinta-Nya.  Amin...

~✿..Ketika cinta datang MENYAPAMU, jangan kagum dengan indahnya ia tetapi LIHATLAH apakah cinta itu akan membuatmu SEMAKIN DEKAT kepada Allah atau tidak..✿~

>>> UNIKNYA cinta yang diredhai Allah, semakin mencintai..semakin MENGINGATI ALLAH, semakin menyayangi..semakin MENDEKATI Allah..itulah sebenar-benarnya cinta..♥♥


Keep Smile (^_^)



No comments:

Post a Comment